KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini melawat waris dua keluarga mangsa tanah runtuh yang meninggal dunia dalam kejadian pada Isnin.
Beliau terlebih dahulu melawat Dewan Raya Tandugal Kampung Mook di Kinarut, Papar bertemu dengan Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isteri, Emily Johnny, 38, dan anaknya, Xarell Myre Aristhotle, 11 apabila rumah mereka dihempap runtuhan tanah akibat hujan lebat pada 15 September.
Hajiji menyampaikan sumbangan termasuk bantuan kepada Aristhotle dan adik-beradiknya untuk membaiki rumah mereka sebelum melawat lokasi tragedi tersebut.

Selepas itu, Ketua Menteri meneruskan lawatan ke Dewan Kampung Marahang, Papar di mana beliau bertemu dengan Benney Binjamis @ Emis yang kehilangan isteri, Wong Moi Ling @ Meymey, 34, serta dua anak mereka, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6.
Ketiga-tiga mereka terkorban apabila rumah mereka dihempap tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul pada pagi 15 September.

Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada Benney dan keluarganya.
Ketua Menteri kemudian meneruskan lawatan ke beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat tanah runtuh dan banjir di Beaufort, Bongawan, Papar, Kinarut, Penampang dan Kota Kinabalu.
Di Beaufort, Hajiji ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon untuk menyampaikan bantuan kepada 83 keluarga mangsa banjir di sana, manakala 56 keluarga di Dewan Masyarakat Bongawan.
Pada sebelah petang, Ketua Menteri juga meninjau perumahan Country Heights di Penampang dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya yang turut terjejas akibat tanah runtuh. – Info X