Search

Inkues kematian Zara: Dompet hilang sebenarnya sudah ditemui – saksi

September 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Saksi kelapan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina memberitahu Mahkamah bahawa dompet hilang yang didakwa dicuri arwah sebenarnya sudah dijumpai pada petang 15 Julai lalu.

Perkara itu diberitahu Ketua Warden, Azhari Abd Sagap ketika ditanya peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu arwah di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding petang tadi.

Beliau berkata dompet itu ditemui seorang pelajar senior, namun belum diserahkan kepada pemiliknya pada malam hari yang sama ketika arwah Zara ‘disiasat’ atas dakwaan mencuri.

Bagaimanapun, katanya hanya dompet yang dijumpai, manakala duit dan barangan lain dalam dompet itu tidak ditemui.

Shahlan sebelum itu bertanya sama ada tiada mana-mana barangan yang didakwa hilang itu ditemui semula, termasuk dompet, kad pengenalan (IC) dan kad bank.

Azhari berkata, dompet berkenaan ditemui di blok akademik sekolah oleh pelajar senior pada petang 15 Julai, namun belum diserahkan kepada pemiliknya.

Beliau turut mengiyakan bahawa tiada duit dan IC ditemui dalam almari di bilik asrama arwah Zara Qairina.

Sementara itu, Azhari mengakui tiada laporan kepada warden mengenai kes kecurian yang dikaitkan dengan arwah Zara Qairina.

Beliau juga mengakui kes seperti itu sepatutnya dilaporkan kepada warden untuk disiasat apabila ditanya Shahlan sama ada boleh atau tidak ketua bilik dan pelajar senior mengambil tindakan sendiri terhadap arwah Zara Qairina. – Info X