Search

Inkues kematian Zara: Arwah suka menulis-nulis, ibu minta diari anaknya

September 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Warden, Azhari Abd Sagap memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ada menyatakan mengenai minat arwah yang suka menulis dan beliau meminta diari milik arwah diberikan kepadanya.

Pada prosiding inkues kematian arwah Zara hari ini, Azhari berkata ibu arwah, Noraidah Lamat ada meminta tiga diari milik arwah daripada pihak sekolah ketika berada di unit kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.

Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu memberitahu perkara berkenaan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika ditanya peguam ibu Zara, Shahlan Jufri mengenai diari arwah Zara yang ditemui pihak sekolah.

Azhari berkata, berdasarkan permintaan ibu arwah Zara Qairina itulah mereka mengetahui mengenai Allahyarham yang memiliki beberapa diari.

“Ibu zara cakap dia rajin menulis-nulis dan dia minta ini (diari) daripada kami. Dari situlah kami tahu Zara ini ada diari dan ibu dia cakap ketika di unit kecemasan, ada tiga (diari) dan pada 16 Julai itu kami baru jumpa dua,” katanya.

Bagaimanapun, katanya diari itu tidak diserahkan kepada ibu arwah atas arahan pegawai penyiasat polis.

Katanya, pada mulanya beliau memang mahu menyerahkan diari itu kepada ibu arwah tetapi pegawai penyiasat polis memintanya menyimpannya dahulu.

“Asalnya memang saya mahu bagi kepada ibu Zara pada 17 Julai tapi semasa saya mahu ke hospital dan dalam perjalanan saya ke hospital, pegawai penyiasat arahkan saya simpan dulu diari itu.

“Saya beritahu kepada ibu Zara, minta maaf puan saya telah serahkan diari itu kepada polis pada petang 17 Julai. Itu yang saya ucapkan kepada ibu Zara,” katanya.

Terdahulu, dalam keterangan bertulis yang dibacanya, Azhari memaklumkan penemuan dua diari, masing-masing berwarna hijau dan ungu pada pagi 16 Julai lalu berdasarkan makluman seorang guru kepadanya yang mana ketika itu, beliau berada di HQE.

Selepas itu, katanya pada petang keesokannya, seorang lagi guru menjumpai sebuah lagi diari dan buku latihan ketika memgemas barang arwah Zara Qairina di almari asramanya.

Semua diari itu, katanya diserahkan kepada seorang guru sebelum diserahkan kepadanya pada 18 Julai lalu dan seterusnya diserahkan pula kepada pegawai penyiasat polis.

Selain itu, katanya beliau turut menerima 15 helaian kertas diari milik Zara daripada seorang guru pada tengah hari 19 Julai lalu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat polis pada jam 3 petang hari yang sama. – Info X