TAWAU: Seorang remaja lelaki ditemui lemas di Sungai Balung River Eco Resort, Batu 24, Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, mangsa berusia 16 tahun dikatakan mandi-manda di sungai berkenaan sebelum dilaporkan hilang.
Menyedari kejadian itu, orang awam segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pencarian menemukan mangsa tersangkut di celah batu pada kedalaman tiga kaki, kira-kira 50 meter dari lokasi awal dia dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya dibawa keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudian tamat sepenuhnya pada jam 5.35 petang,” katanya. – Info X