Search

Inkues kematian Zara: Ketua Warden sambung keterangan hari ini

September 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, hari ini disambung semula dengan sesi soal jawab saksi Ketua Warden asrama, Azhari Abd Sagap.

Saksi kelapan inkues berkenaan dijangka menjawab beberapa soalan yang dikemukakan peguam mewakili ibu arwah, selain peguam mewakili bapa arwah dan peguam mewakili tertuduh kanak-kanak.

Semalam, Azhari hanya sempat ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri mengenai beberapa perkara termasuk penemuan diari arwah di sekolahnya, tuduhan mencuri dan rutin pelajar asrama di bawah jagaannya.

Shahlan dijangka menyambung lagi soalannya pada prosiding hari ini.

Sebelum itu, Ketua Warden berumur 31 tahun itu turut menjawab mengenai isu telefon awam di asrama yang ditutup pada hari kejadian, iaitu selepas arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama.

Perkara itu dibangkitkan Pegawai Pengendali, Mohd Fairuz Johari berikutan laporan sebelum ini menyatakan telefon awam di asrama sekolah terbabit ditutup dua hari bagi mengelak pelajar menghubungi ibu bapa.

Azhari bagaimanapun menafikan memberi arahan menutup telefon awam, sebaliknya menyatakan arahannya hanya meminta warden lain dan seorang lagi guru ‘mengharamkan’ pelajar menghubungi keluarga pada 16 Julai lalu kerana tidak mahu ibu bapa risau dan bagi mengelak berita tidak sahih.

Selain itu, Mohd Fairuz turut bertanya kepada Azhari mengenai tindakan mengalihkan arwah Zara dari tempat dia ditemui tidak sedarkan diri ke lokasi bersebelahan rumah warden asrama perempuan yang jaraknya kira-kira 20 meter.

Terdahulu, Azhari membacakan kenyataan saksi bertulisnya yang menerangkan mengenai apa berlaku pada hari kejadian selepas arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai lalu.

Azhari turut menyatakan mengenai penemuan beberapa diari dan buku milik arwah Zara yang kemudian diserah kepada pegawai penyiasat polis berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu itu.

Selain Ketua Warden, seorang Pegawai Perubatan Forensik dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha turut memberi keterangan sebagai saksi ketujuh semalam.

Dr Logaraj menerangkan proses penyerahan jenazah arwah yang bermula dengan penerangan kepada ibu arwah, Noraidah Lamat dan seorang lagi ahli keluarga arwah, Nur Shira Abdullah mengenai bedah siasat.

Doktor itu menyatakan ibu arwah tidak mahu bedah siasat dijalankan walaupun sudah dijelaskan mengenai kepentingan untuk melaksanakan prosedur itu kepada waris arwah.

Beliau turut menafikan dakwaan tidak pernah berjumpa dan tidak menerangkan mengenai kepentingan bedah siasat atau post mortem jenazah kepada ibu arwah ketika disoal peguam Rizwandean M Borhan.

Sementara itu, semalam Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan mengenai satu lagi prosiding locus in quo atau lawatan ke lokasi kejadian akan dibuat apabila selepas saksi kanak-kanak dipanggil.

Sebelum ini, locus in quo dibuat pada 11 September lalu bagi melihat lokasi kejadian dan melakukan simulasi jatuhan patung dengan kehadiran saksi pertama, pakar patologi HQE, Dr Jessie Hiu.

Saksi kanak-kanak dijangka dipanggil bermula esok untuk mengikuti prosiding yang dibuat secara tertutup dengan hanya pihak yang berkaitan dibenarkan hadir. – Info X