PENAMPANG: Sebuah rumah roboh manakala dua kenderaan rosak dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Kampung Madsiang, Jalan Tambunan Penampang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba,Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi dengan menaiki jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku tanah runtuh yang mengakibatkan sebuah rumah runtuh sepenuhnya serta merosakkan dua kenderaan milik penduduk.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. Pasukan bomba memberi khidmat nasihat kepada penduduk sekitar supaya berpindah jika perlu kerana dibimbangi berlaku runtuhan susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan penyelamat turut melakukan pemantauan di kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan benar-benar terkawal sebelum operasi ditamatkan. – Info X