KOTA KINABALU: Seorang pakar Pemeriksa Dokumen Forensik dari Kuala Lumpur, Dr Linthini A/P Gannetion, hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini bagi menjalankan pemeriksaan awal terhadap dokumen dan catatan yang didakwa milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Dr Linthini, yang tiba kira-kira jam 9 pagi bersama pasukan peguam mewakili ibu arwah, dilihat memasuki bilik persediaan lelong bersama barisan peguam keluarga.
Tidak lama kemudian, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar turut hadir untuk urusan berkaitan bahan yang diperiksa.
Difahamkan, pakar ini ditugaskan meneliti dan mengesahkan kesahihan bahan bertulis termasuk buku catatan, dokumen peribadi, dan diari yang dikaitkan dengan arwah.
Langkah pengesahan ini dilihat penting bagi memastikan sebarang analisis psikologi terhadap tulisan Zara kelak berasaskan dokumen yang benar-benar sahih.

Dr Linthini merupakan seorang pemeriksa dokumen bertauliah dengan pengalaman lebih enam tahun mengendalikan pelbagai kes berkaitan dokumen.
Beliau juga diiktiraf sebagai wanita pertama di Malaysia yang memperoleh PhD dalam bidang Pemeriksaan Dokumen Forensik, sebagaimana direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).
Beliau akan menjadi saksi bagi pihak ibu Zara dalam prosiding inkues nanti.
Minggu lalu, peguam keluarga, Shahlan Jufri, memaklumkan hasrat untuk turut melantik pakar psikologi bebas dari Kuala Lumpur bagi menilai keadaan minda Allahyarham sebelum tragedi berlaku.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa aspek psikologi hanya boleh diberi pertimbangan penuh selepas kepastian identiti dan kesahihan hasil tulisan arwah diperoleh melalui pemeriksaan forensik.
Sementara itu, prosiding inkues hari ini diteruskan dengan sesi soal jawab bersama Ketua Warden asrama, Azhari Abd Sagap. – Info X