KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kakitangan Sabah Electricity (SE) yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras sungai di Kampung Nuntunan Apin-Apin, di sini, kelmarin masuk hari ketiga hari ini dengan tumpuan pencarian di sekitar Kampung Linsudan.
Dalam operasi bermula jam 9 pagi itu, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung memperluas radius pencarian sehingga 40 kilometer di Sungai Pagalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, fokus pencarian hari ini bertumpu di Kampung Linsudan selepas pasukan penyelamat menemui sepasang kasut dipercayai milik mangsa di kawasan berkenaan.

“Jarak lokasi penemuan kasut itu adalah kira-kira 21 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, turut digunakan dalam SAR hari ketiga ialah unit dron bagi membantu pemantauan dari udara sepanjang kawasan sungai yang berarus deras.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, mangsa berusia lingkungan 30-an dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan gantung yang dilanda banjir.
Difahamkan, mangsa bersama dua lagi rakan sekerja ketika itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah pencawang berhampiran jambatan berkenaan.
Dua rakannya berjaya menyelamatkan diri, namun mangsa terus hilang dibawa arus.
Sejurus kejadian, pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain segera melancarkan operasi SAR dengan turut dibantu penduduk kampung.
Operasi itu terus diperluas berikutan beberapa saksi mendakwa terlihat kelibat mangsa dibawa arus di Sungai Kepayan dan Sungai Baginda awal pagi keesokannya. – Info X