Search

Jeffrey rayu PMX lulus peruntukan RM900 juta tangani isu banjir

September 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meluluskan peruntukan segera RM900 juta bagi melaksanakan projek kritikal tebatan banjir.

Katanya, projek kritikal itu adalah untuk jangka panjang yang mana kerajaan negeri Sabah sudah menyediakan pelan dan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Antaranya, beliau berkata Pembangunan Lembangan Sungai Moyog Pakej 2A dan Pakej 4 di Penampang yang sudah lama dirancang.

“Namun, usaha kita telah berulang kali dinafikan kerana pembiayaan tidak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sejak RMK11.

“Oleh itu, pada kesempatan ini, saya dengan penuh harapan dan kesungguhan merayu kepada YAB Perdana Menteri agar meluluskan peruntukan segera kira-kira RM900 juta untuk melaksanakan projek-projek kritikal ini.

“Inilah penyelesaian jangka panjang yang mampu melindungi nyawa, harta benda dan masa depan rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah sudah terlalu lama menderita setiap kali hujan lebat turun. Kita tidak boleh lagi menunggu tragedi seterusnya. Nyawa rakyat mesti diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Esok (Jumaat), PMX dijadual melakukan lawatan ke lokasi bencana di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.

Terdahulu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri itu menzahirkan ucapan dukacita atas nasib 13 mangsa, termasuk anak kecil yang terkorban akibat bencana banjir dan tanah runtuh melanda beberapa daerah baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan yang sama terhadap seorang kakitangan Sabah Electricity (SE) yang dihanyutkan arus deras sungai ketika menjalanjan tugas di Keningau pada 15 September lalu.

“Dengan dukacitanya saya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan masyarakat yang terkesan dalam tragedi bencana alam ini.

“Kita juga terkesan dengan seorang pekerja Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) yang dilaporkan telah dihanyutkan oleh arus deras sungai yang sedang banjir ketika menjalankan tugas pada 15 Setpember lalu, yang mana sehingga kini belum ditemui.

“Beliau adalah lambang pengorbanan anak Sabah yang berbakti demi memastikan rakyat lain tidak terputus bekalan elektrik walaupun dalam bencana,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, kejadian berlaku ketika mangsa dengan dua orang lagi yang terselamat sedang dalam tugas memulihkan bekalan elektrik di Kampung Nuntunan, Apin-apin.

“Kita bersama-sama berdoa semoga keluarga dan masyarakat diberi ketabahan dalam penantian kepulangan insan tercinta, walau dalam apa jua keadaan.

“Tragedi ini mengingatkan kita bahawa banjir bukan sekadar musibah alam, tetapi juga dugaan yang menggugat rasa selamat, masa depan, dan harapan rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berulang tanpa tindakan tegas, dan rakyat tidak boleh terus hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat turun,” katanya.

Sebagai langkah segera, katanya kerajaan akan melaksanakan kerja-kerja pemulihan sistem saliran di kawasan terjejas serta mempercepatkan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan. – Info X