KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu, saksi mahu tahu kandungan diari arwah Zara Qairina Mahathir selepas ibunya berulang kali menyebut mengenai dokumen itu.
Ketua Warden, Azhari Abd Sagap memberitahu mahkamah, tiada siapa yang memberi kebenaran kepada pihaknya untuk membaca diari arwah selepas ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri.
Saksi kelapan inkues kematian Zara itu turut menjelaskan mengenai penyerahan barangan milik arwah kepada ibunya yang turut merangkumi sebuah diari ‘Love and Peace’ di bilik isolasi asrama perempuan.
Beliau bagainanapun menjelaskan pertama kali melihat gambar diari berkenaan pada prosiding hari ini dan tidak pernah melihatnya sebelum ini.
Sementara itu, Azhari memberitahu Mahkamah Koroner bahawa 15 helaian kertas dipercayai mengandungi tulisan arwah Zara yang disebut dalam kenyataan saksinya sebelum ini ditemui di rak buku di belakang bilik darjah arwah.
Beliau berkata rak terbabit yang tidak berkunci dan diperbuat daripada kayu digunakan untuk menyimpan buku teks, buku latihan dan buku nota pelajar.
Saksi memberitahu perkara itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika diminta Shahlan untuk menjelaskan kedudukan rak buku di bilik darjah arwah.
Azhari turut mengakui adalah tidak logik diari milik arwah disimpan di rak buku yang boleh diakses oleh sesiapa saja, namun mengulangi kenyataannya bahawa dokumen itu ditemui di rak berkenaan.
Sebanyak 15 helaian kertas mengandungi tulisan dipercayai milik arwah itu katanya diserahkan kepada pihak polis dan polis turut mengambil gambar kedudukan rak buku terbabit. – Info X