KOTA KINABALU: Saksi kelapan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir menangis ketika meluahkan perasaannya mengenai pelbagai kecaman yang diterima beliau dan warga sekolah selepas kes kematian arwah.
Ketika prosiding di Mahkamah Koroner sebelum tengah hari itu, Ketua Warden, Azhari Abd Sagap menafikan tuduhan menyembunyi pembuli dan pembunuh arwah seperti dilemparkan melalui media sosial.
Beliau meluahkan perasaan selepas peguam empat tertuduh kanak-kanak, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, meminta maklum balas beliau mengenai pelbagai kecaman terhadap warden dan pengetua serta warga sekolah yang didakwa cuba melindungi pembuli dan pembunuh dalam kes Zara Qairina.
Azhari turut mendedahkan identiti sebenar seorang pelajar yang diviral sebelum ini kepada polis bagi siasatan.
“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara, saya tidak akan ceritakan apa yang berlaku pada malam 15 Julai kepada pihak polis dan saya maklumkan perkara itu pada malam 16 Julai sebelum ibu Zara membuat laporan polis kali kedua, kalau itulah yang dianggap kami cuba menutup kes.
“Saya sendiri yang berurusan dengan polis, bawa siapa-siapa untuk memberi keterangan, termasuk menyerahkan audio Kak M dan saya maklumkan kepada polis siapa Kak M ini dan saya tegaskan di sini Kak M itu bukan (nama pelajar), kenapa dia yang dikecam, diviral.
“(Dia) (nama pelajar) budak yang baik, hampir setiap tahun dia pelajar hafazan saya setiap tahun. Tahun lepas saya buat program Halaqah Huffaz bagi mengisi program selepas UASA (Ujian Akhir Sesi Akademik).
“Saya buat program Halaqah Huffaz dan dialah antara tiga pelajar terawal selsaikan hafazan dia dan saya (saksi menangis), bagi saya tuduhan terhadap dia kejam hanya kerana dia pertama jumpa Zara di sana, tapi ini yang dia dapat,” katanya.
Ketika itu menceritakan kekesalannya terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada seorang pelajarnya yang disifatkannya sebagai kejam.
Azhari turut menceritakan tindakan yang diambilnya bermula sejak Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu dan pertemuan dengan ibu arwah selepas kejadian berkenaan.
“Sama juga dengan saya, ini (kecaman) yang saya dapat. Saya cuba bawa Zara ke hospital, call 991 untuk minta ambulans ambil Zara, saya ikut ambulans ke hospital dan saya tunggu sampai ibunya sampai.
“Saya di unit kecemasan sampai petang tidak mandi, adakah ini yang patut saya dan sekolah terima? Saya tinggalkan Zara dan ibunya (pada 16 dan 17 Julai) hanya kerana jumpa polis, itu saja saya tinggalkan, selain jumpa pegawai penyiasat (IO) di sekolah.
“Selepas itu dia (IO) arahkan saya bagi keterangan di IPD Papar dan dari IPD Papar saya kembali ke hospital lawat Zara. Saya tidak terfikir tinggalakan ibu Zara pada masa itu dan saya hanya kembali (ke sekolah) selepas tengah malam, tapi patutkah ini saya terima,” luahnya.
Beliau berkata, pada pagi 17 Julai beliau membawa seorang pelajar untuk membuat keterangan di IPD Papar sebelum kembali lagi ke hospital untuk melihat keadaan Zara dan berjumpa ibu arwah di sana.
“Pagi 17 Julai itu bukan saya tidak mahu jumpa Zara, saya bawa (nama pelajar) buat keterangan lepas itu datang balik hospital dan pada subuh 17 Julai itu lebih 600 pelajar menjadi saksi macam mana saya imamkan solat subuh pagi itu.
“Saya ada, saya tunggu sampai Zara dicabut mesin (bantuan pernafasan) hingga ke forensik dan ke kuburan. Inikah patut saya terima? Dari 16 Julai sampai habis siasatan, polis berhubung dengan saya.
“Bermula dari siasatan oleh IPD Papar sampailah Bukit Aman (ambil alih siasatan) patutkah ini. Tiaa yang kami selindung, semua kami baritahu, apa-apa saja. Itu tanggungjawab saya, saya tidak mahu Zara teraniaya,”
Atas segala yang dilakukannya, Azhari berkata sekolah dan beliau sendiri teraniaya.
“Saya kenal Zara, saya mengajar dia di kelas, malah saya tersentuh apabila subjek saya disebut dalam diarinya dan saya pernah pesan di kelas, kalau tidak mahu tutup aurat dan ‘handsock’ kamu humban bapa kamu dan selepas itu Zara pakai ‘handsock’.
“Saya tidak tahu apa sebenarnya dialami arwah, sayapun mahu cari keadilan, tapi kenapa kecaman ini yang kami dapat. Sebab itu saya tahu semua cerita, saya tahu derita Zara kalau betul itu, diari Zara.
“Sebab itulah apa-apa saja di media sosial saya ambil tahu semua, audionya, semua saya bagitahu dan saya yang berikan kepada polis. Kalau kata mahu tutup, saya tidak akan bagitahu siapa Kak M itu.
“Cerita Kak M ini berlaku sekitar bulan lima, itu berdasarkan siasatan sekolah, kenapa ibu Zara tidak lapor kepada sekolah. Itu yang jadi persoalan saya, sebab itu saya ambil tahu. Sebab saya rasa terkesan kehilangan Zara..kenapa tiada aduan daripada ibu Zara.
“Saya sudah minta dari group laman rasmi, tiada langsung tiada aduan,” katanya. – Info X