Search

Mayat kakitangan SE ditemui selepas tiga hari dihanyut arus deras

September 18, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan, kakitangan Sabah Electricity (SE) yang dihanyutkan arus deras di Kampung Nuntunan Apin-apin, di sini, Selasa lalu akhirnya ditemui lemas, petang tadi.

Mayat Masdeh Rosmin, 35, ditemui pada jam 6.18 petang oleh pasukan penyelamat Team Galen Star di kawasan Sungai Kampung Liau Laut, kira-kira 21 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi hari ketiga hari ini bermula jam 9 pagi dengan radius pencarian diperluas sehingga 40 kilometer di sepanjang Sungai Pagalan.

“Fokus pencarian tertumpu di Kampung Linsudan selepas penemuan kasut dipercayai milik mangsa.

“Operasi turut dibantu unit dron serta agensi penyelamat lain bagi mengesan mangsa yang dihanyutkan arus deras sejak malam 16 September lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 21 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di sungai Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau.

Menurutnya, mangsa berjaya ditemui pada jam 6.18 petang di Sungai Kampung Liau Laut, kira-kira 21 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Psukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, 16 September lalu, mangsa bersama dua rakan sekerja sedang melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah pencawang berhampiran jambatan gantung di kampung berkenaan sebelum cuba menyeberang.

Namun, arus deras menyebabkan dia dihanyutkan, manakala dua rakannya berusia 24 dan 38 tahun sempat menyelamatkan diri.

Sejurus kejadian, pasukan bomba bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan operasi SAR dengan bantuan penduduk kampung.

Operasi berkenaan menamatkan pencarian selepas mayat mangsa ditemui petang tadi. – Info X