Search

Polis tahan lelaki ugut isteri guna parang

September 19, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki mengugut isterinya dengan sebilah parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan Jalan Apas, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi apabila suspek berusia 41 tahun mengamuk sambil mengeluarkan kata-kata ugutan serta memegang sebilah parang di dalam rumah mereka.

Menurutnya, suspek mendakwa kononnya terdapat individu lain mengintainya dari luar rumah sambil menyelak langsir ruang tamu.

Katanya, situasi tegang itu memuncak apabila suspek menjerit dan mengancam isterinya dengan kata-kata mahu membunuh serta menetak menggunakan parang berkenaan.

“Bertindak dengan laporan yang dibuat semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek kira-kira jam 8 malam Khamis di perkarangan IPD Tawau.

“Polis turut merampas sebilah parang, seutas kunci kereta serta sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah sebelum ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengawal emosi dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga sendiri.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan atau tindakan ganas.

“Orang ramai yang menghadapi tekanan dinasihatkan mendapatkan bantuan sewajarnya bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,” katanya. – Info X