PENAMPANG: Nasib mangsa tanah runtuh dan banjir di beberapa kampung dan taman perumahan di daerah ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tiba untuk meninjau situasi bencana di Sabah petang ini, khususnya di Penampang dan Kota Kinabalu.
Anwar meninjau sendiri keadaan di kawasan bencana bermula di Taman Country Height sebelum ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolopis dan PPS Kampung Sarapung.
Ketiga-tiga lokasi terjejas bencana tanah runtuh dan banjir disebabkan hujan lebat berterusan pada 15 September lalu.
Setakat hari ini, seramai 162 mangsa daripada 49 keluarga masih ditempatkan di PPS Kolopis di SK St Paul Kolopis, manakala 166 mangsa daripada 49 keluarga di PPS Sarapung.

PPS Kolopis menempatkan mangsa banjir, manakala mangsa tanah runtuh dan banjir di PPS Sarapung.
Sarapung antara kawasan paling terjejas tanah runtuh dengan seorang warga emas meninggal dunia akibat terperangkap dalam rumah yang dihempap tanah runtuh.
Hadir sama ketika lawatan Perdana Menteri ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Perdana Menteri turut diberi taklimat mengenai situasi bencana di Penampang, termasuk perkembangan bekalan elektrik berikutan menara elektrik tumbang di Kampung Sarapung pada 15 September lalu.
Di Kota Kinabalu, Anwar meninjau keadaan tanah runtuh yang menjejaskan bangunan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya. – Info X