Search

21 PATI ditahan dalam serbuan Imigresen

September 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam siri operasi penguatkuasaan di sekitar bandaraya ini yang dijalankan selama dua hari bermula 18 hingga awal pagi tadi.

Operasi membabitkan 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu itu dijalankan hasil risikan serta maklumat awam yang dilakukan sejak seminggu lalu di beberapa lokasi berasingan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, JIM Sabah memaklumkan pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 104 individu sepanjang operasi berkenaan.

“Hasilnya, seramai 21 warga asing berasal dari Pakistan, Filipina dan Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk majikan yang melindungi atau menggaji PATI.

“Kami menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi demi keselamatan negara,” katanya. – Info X