Search

Isteri lemas ketika menangkap ikan bersama suami

September 20, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Pilu hati seorang suami apabila isterinya ditemui lemas ketika mereka keluar bersama menangkap ikan di muara Sungai Laya-Laya, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa, Muning Munang, 35, dikatakan berada di atas perahu manakala suaminya turun ke dalam sungai untuk menangkap ikan.

Namun, sebaik suaminya naik semula ke perahu selepas kira-kira 20 minit, kelibat isterinya sudah tiada.

Panik dengan kejadian itu, lelaki terbabit berusaha mencari isterinya sebelum menghubungi rakan serta penduduk kampung untuk membantu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 malam sebelum enam anggota bersama jentera dan bot NADMA digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 10.32 malam dan operasi pencarian dilaksanakan.

“Mangsa ditemui penduduk kira-kira jam 11 malam di tebing sungai, hanya 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.38 tengah malam,” katanya. – Info X