Search

Syarikat besar digesa buat CSR bantu mangsa banjir, tanah runtuh di Sabah

September 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat besar yang beroperasi di Sabah digesa tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di negeri itu.

Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO, Naim Moktar, berkata banyak syarikat besar mengaut keuntungan dari bumi Sabah, namun hanya mendiamkan diri ketika bencana menjejaskan kehidupan rakyatnya.

Sikap syarikat terbabit katanya amat dikesali kerana mereka sepatutnya bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat bencana.

“Sabah kini berdepan detik paling getir, banjir besar dan tanah runtuh meragut 14 nyawa tidak berdosa, menenggelamkan ribuan rumah, dan memaksa puluhan ribu rakyat hidup dalam penderitaan.

“Ini bukan sekadar statistik tetapi realiti ini adalah air mata, kehilangan dan kesengsaraan rakyat kita sendiri.

“Namun, amat mendukacitakan apabila syarikat-syarikat besar yang selama ini mengaut keuntungan di bumi Sabah masih membisu seribu bahasa.

“Di mana tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka? Di mana jiwa kemanusiaan ketika rakyat Sabah sedang merintih,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau mengulas ketiadaan CSR syarikat swasta dalam menambah usaha kerajaan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

Naim yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, berkata berbeza situasi di Semenanjung yang mana syarikat gergasi berebut-rebut menyalurkan bantuan apabila bencana melanda.

“Tapi, apabila Sabah ditimpa malapetaka, mengapa suara mereka lenyap? Apakah nyawa rakyat Sabah tidak sama nilainya dengan nyawa rakyat di tempat lain?

“Saya menyeru dengan tegas, semua syarikat yang beroperasi di Sabah, tampil segera menghulurkan bantuan.

“Jika anda boleh meraih keuntungan dari hasil bumi Sabah, maka jangan sekali-kali berpaling muka ketika rakyat Sabah ditimpa musibah.

“Bencana ini tidak boleh ditanggung sendirian, Sabah bukan anak tiri Malaysia. Rakyat Sabah berhak mendapat sokongan penuh, perhatian penuh dan bantuan segera daripada semua pihak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak berganding bahu tidak membiarkan rakyat Sabah terus hanyut dalam derita, manakala yang lain hanya menjadi penonton bisu.

Sabah dibasahi hujan lebat luar biasa pada akhir minggu lalu menyebabkan banyak kawasan mudah dilanda banjir terjejas, malah lebih teruk ia turut disusuli tanah runtuh sehari sebelum sambutan Hari Malaysia, khususnya di Penampang, Kota Kinabalu dan Papar.

Turut dilanda banjir ialah daerah Beaufort, Membakut dan Putatan dengan lebih 2,000 mangsa dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala 13 mangsa maut akibat tanah runtuh di Papar dan Penampang, diikuti seorang maut akibat dihanyut arus deras di Keningau.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meninjau sendiri beberapa kawasan yang terjejas tanah runtuh dan banjir di Penampang serta Kota Kinabalu. – Info X