KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai ‘las battle’ untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan negeri.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu dijelaskan kepada pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini agar BN kembali memainkan peranan penting dalam mentadbir negeri.
Jelasnya, UMNO BN tidak sama seperti parti lain yang hanya bergantung kepada ketokohan seorang pemimpin tertentu untuk menonjol, memberi kelebihan kepada BN untuk kekal relevan walaupun pemimpinnya bersilih ganti.
“Lihat Parti Warisan, selepas Shafie tiada, Warisan habis, STAR bergantung kepada Jeffrery, PGRS (Parti Gagasan Rakyat Sabah), bergantung kepada Hajiji (Ketua Menteri).
“Tapi UMNO lain, seorang ketua pergi, 20 akan ganti, itu lainnya dan indahnya UMNO. Jadi saya bagitahu UMNO Sabah, ini kita punya ‘last battle’ dan saya melihat peluang UMNO dan BN sangat baik, peluang ini tidak datang berulang kali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis bersama media, di sini, malam tadi.
Hadir sama Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir; Penasihat Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar dan Presiden SJA, Mariah Doksil.
Bung Moktar bagaimanapun mengakui PRN17 sebagai pilihan raya yang rumit berikutan pertembungan banyak gabungan dan parti serta kesukaran mencapai kata sepakat, khususnya membabitkan agihan kerusi.
Beliau berkata, rundingan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) juga belum dapat menyelesaikan sepenuhnya agihan kerusi yang diminta kedua-dua gabungan berkenaan.
Mengenai rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata pihaknya tidak dapat menerima apabila hanya diberikan lapan kerusi.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memanggil saya di Parlimen tanya saya adakah jalan untuk bekerjasama dengan Hajiji (Pengerusi GRS), saya cakap tidak, beri kami hanya lapan kerusi mana boleh.
“Susah berunding dengan GRS, kerusi kita pun mereka mahu ambil, termasuk enam kerusi bekas ahli UMNO yang melompat sebelum ini seperti kerusi Shahelmey ( Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya) di Tanjung Keramat, Tempasuk dan lain-lain,” katanya.
Tegasnya, UMNO akan bertanding di semua kerusi tradisinya sebelum ini, termasuk yang dipinjamkan kepada parti lain ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020 dengan sasaran kira-kira 40 kerusi menerusi kerjasama dengan PH.
Mengenai majlis bersama media malam tadi, Bung Moktar berkata ia bukan sekadar acara sosial tetapi menjadi wadah untuk memperkukuh komunikasi strategik antara kepemimpinan politik dan pengamal media menjelang PRN-17.
Katanya, media memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dan kepemimpinan politik.
“Dalam era politik baharu, suara rakyat tidak hanya terbentuk di Dewan Parlimen atau pentas ceramah, tetapi juga melalui wacana media.
“Hubungan konstruktif dengan wartawan adalah sebahagian daripada strategi komunikasi UMNO Sabah bagi memastikan maklumat yang tepat dan seimbang sampai kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata media bukan sekadar penyampai berita, tetapi juga agen wacana demokratik.
“Keupayaan kita untuk berkomunikasi dengan jelas dan beretika akan menentukan sama ada politik difahami sebagai penyelesaian atau sekadar dilihat sebagai retorik.
“Justeru, kerjasama UMNO dengan media bukan soal kepentingan partisan tetapi usaha memperkukuh literasi politik rakyat,” katanya. – Info X