PENAMPANG: Kerajaan negeri bercadang memberi pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) miliknya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata cadangan itu khas untuk melanjutkan pengajian University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Selain itu, katanya kerajaan negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan khususnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah (YS) bagi meringankan beban hutang pelajar.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 orang peminjam. Saya optimis, dasar ini praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang.
“Inilah bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu di samping memastikan akses pendidikan sampai kepada pelajar.
“Sebab itu kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda adalah cerminan kepada masa depan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini, pada Ahad.
Ketua Menteri berkata sejak diberikan amanah untuk mengemudi negeri, kerajaan pimpinan beliau memberi tumpuan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan.
Katanya, ia diterjemahkan dalam Hala Tuju SMJ, sebuah pelan pembangunan inklusif dan komprehensif yang terbukti berjaya membawa Sabah membangun dengan signifikan.
“Sejak 2021, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan. Jumlah ini adalah peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak muda.
“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya Bantuan one-off sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, selain bantuan sebanyak RM300 melalui inisiatif SENTOSA untuk pelajar yang belajar dalam negeri.
Kerajaan Negeri juga telah menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada tahun 2025 yang telah memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian, katanya sambil menambah Kerajaan Negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.
“Semua ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri telah berjaya meningkatkan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah. Pendapatan negeri Sabah meningkat kepada hampir RM7 bilion,” katanya. – Info X