Search

Wujudkan Task Force khas tangani pelaksanaan Grid Sabah-Sarawak – Suhaimi

September 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menyuarakan keperluan mendesak penubuhan sebuah Task Force Khas Sabah-Sarawak bagi menangani kelewatan pelaksanaan projek Southern Link dan Grid Sabah-Sarawak yang memberi kesan besar kepada bekalan elektrik di kawasan pantai timur Sabah.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berikutan kekurangan tenaga elektrik yang sering menjejaskan kawasan pantai timur termasuk Lahad Datu, Kalabakan dan Tawau.

Beliau berkata, kelewatan projek itu bukan semata-mata isu teknikal, tetapi mencerminkan kegagalan dalam pengurusan risiko oleh Kerajaan Negeri Sabah.

“Jika projek ini tertangguh kerana bahagian Lawas – Miri (Sarawak) belum siap, langkah pertama kerajaan yang bertanggungjawab adalah menubuhkan Task Force Sabah – Sarawak.

“Makanya, sebuah perbincangan perlu ditetapkan pada suatu tarikh, dan pemantauan kemajuan haruslah dilakukan secara konsisten,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ia bukan sekadar cadangan, sebaliknya menjurus kepada pentadbiran negeri yang berkesan.

Suhaimi turut menyatakan keyakinan beliau terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan profesional, yang mampu menyelesaikan isu itu dengan baik.

“Kita harus ingat bagaimana beliau pernah tampil membantu menyuarakan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu satu tindakan yang seharusnya memalukan Kerajaan Negeri Sabah kerana gagal menyelesaikan isu itu sendiri.

“Namun tindakan beliau membuktikan bahawa pemimpin berwibawa tidak mengenal sempadan negeri apabila rakyat memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau mengkritik Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menurutnya lebih banyak menabur janji dan membuat pengumuman projek, tetapi gagal melaksanakan tindakan konkrit.

“GRS harus sedar bahawa mentadbir negeri bukan hanya pengumuman atau merangka pelan, tetapi membina mekanisme kolaborasi dengan negeri jiran dan memastikan rakyat menikmati hasilnya.

“Jika kelewatan berlaku, duduklah berbincang, bukan menuding jari atau bersandiwara di media,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar Task Force Sabah–Sarawak ditubuhkan segera dengan menetapkan tarikh akhir pelaksanaan yang jelas, mekanisme penjejakan awam (public tracking) dan audit terbuka.

Langkah itu, katanya penting bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan projek, selain membolehkan rakyat menilai sendiri prestasi kerajaan.

“Rakyat Sabah menuntut hasil, bukan drama politik. YB Nizam Titingan dan GRS perlu faham bahawa mentadbir negeri bermakna bertindak, bukan sekadar bercakap,” katanya. – Info X