KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat anak guamnya.
Dalam laporannya yang dibuat di Balai Polis Luyang, di sini, beliau berkata maklumat itu terdedah selepas kenyataan saksi yang sepatutnya diberikan di Mahkamah Koroner dibocorkan di media sosial serta disebarkan secara meluas melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, pendedahan itu mengandungi butiran peribadi saksi, termasuk nama penuh, alamat rumah dan nombor pengenalan diri (IC).
Selain itu, beliau berkata satu video di aplikasi TikTok, Suketi/Uke Link: https://vt.tiktok.com/ZSDyAo8X5/ turut memaparkan nama lima tertuduh kanak-kanak yang dituduh dalam kes itu.
“Kebocoran maklumat ini telah menimbulkan ketakutan serta tekanan emosi kepada saksi pelajar berkenaan. Saya sendiri telah menemui saksi dan ibunya pada pagi ini, dan mereka dalam keadaan trauma serta menangis akibat pendedahan tersebut.
“Saya percaya tindakan ini melanggar undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan saksi dan kanak-kanak, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta peruntukan lain yang berkaitan dengan kerahsiaan prosiding mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya beliau membuat laporan berhubung perkara itu agar pihak polis dapat menyiasat kebocoran maklumat sulit itu dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Beliau seterusnya berharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi saksi dan memastikan integriti inkues tidak terus tergugat.