KOTA KINABALU: Kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada satu program parti itu, baru-baru ini dilihat mempunyai unsur penghinaan terhadap mahkamah.
Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, berkata bagi beliau kenyataan bekas Ketua Menteri itu adalah menghina mahkamah.
Beliau merujuk sebuah video yang menunjukkan Shafie berceramah dalam satu program partinya yang antara lain menyebut Allahyarham Zara dibunuh, selain turut mengungkit mengenai inkues yang sedang dilaksanakan.
Katanya, beliau kecewa dengan apa yang disebut Ahli Parlimen Semporna itu, lebih-lebih lagi setelah Peguam Negara (AGC) dan Koroner meminta supaya proses inkues untuk mencari kebenaran mengenai punca kematian arwah Zara tidak diganggu.
“Bila saya nampak video itu, yang banyak kena viral, yang Datuk Shafie cakap, mungkin dalam satu jamuan makan, dia tanya lagi orang-orang yang hadir itu, ‘adakah ini betul? Betul’, lepas itu dia cakap pasal inkues.
“Yang betul-betul mengecewakan itu, sudah AGC cakap, jangan kacau proses inkues, lepas itu Koroner pun cakap jangan kacau. Koroner pun kecewa ketika dia cakap semasa prosiding yang hari Jumaat, itulah Koroner suruh saya buat laporan polis.
“Lepas itu, mana boleh Datuk Seri Shafie cakap macam itu, ini bukan kes bunuh. Tapi dia betul-betul tegaskan ‘ini kes bunuh’ dia bilang, ‘ini bukan inkues lagi’. Sanalah yang semua saksi-saksi yang macam pelanggan saya itu, A, pun kecewa, family semuapun kecewa.
“Dalam proses untuk inkues ini pula, yang sudah berjalan 10 hari, kita ada budak-budak lagi, budak-budak yang akan bagi keterangan. Bayangkan sebanyak 28 budak-budak ini yang dengar macam proses begini, yang dia cakap bunuh.
“Ini bukan bunuh, ini inkues. Untuk cari kebenaran bah, apa sebabnya yang Zara jatuh. Bukan kita cakap kes bunuh,” katanya.
Ram berkata, ramai yang kecewa apabila melihat video Shafie bercakap mengenai perkara itu, lebih-lebih lagi apabila orang ramai yang mendengar ucapannya menyokong apa yang dikatakan Shafie.
Katanya, perkara itu jelas menunjukkan satu gangguan kepada proses inkues yang sudah berjalan selama 10 hari di Mahkamah Koroner.
“Yang saya dengar itu, dia cakap ‘adakah ini betul?’ semua orang cakap ‘betul’. Jadi, ini mengganggu proses inkues yang sudah berjalan 10 hari. Tidak boleh buat macam itu. Mana ada keadilan lagi sekarang untuk mereka dengar inkues ini.
“Kita tidak mahu macam itu, kita mahu proses inkues ini berjalan dengan lancar, ini proses biasa,” katanya.
Ram berkata, berikutan situasi itu, terpulang kepada Koroner sama ada meneruskan inkues yang dijadual disambung semula esok (Isnin) atau meminta Shafie tunjuk sebab atas apa yang dikatakan beliau.
“Tapi saya harap semua pihak tengoklah, apa kebenaran yang Datuk Seri Shafie itu cakap. Adakah itu ‘contempt’ (penghinaan), tapi dari ramai yang komen-komen itu, memanglah ini ‘contempt’.
“Sayapun kata ini ‘contempt’, janganlah ganggu perjalanan inkues yang sudah 10 hari ini dan setiap kali kena tangguh, netizen cakap ‘blame’ dengan Datuk Ram Singh. Ini tidak betul,” katanya.
Ram juga berkata, sebelum ini sudah ada beberapa pihak diambil tindakan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap mahkamah dan beliau menegaskan tindakan yang sama perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan perkara sama. – Info X