Search

Talian kedua penghantaran elektrik ke pantai timur disambung semula pada Ahad – SE

September 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di kawasan pantai timur bertambah stabil dengan siapnya kerja pemulihan talian kedua 275kV Kolopis-Segaliud setelah satu lagi menara Emergency Restoration System (ERS) siap didirikan pada Ahad.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity (SE), Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata pemulihan bekalan elektrik ke pantai timur itu adalah hasil kerja keras tanpa henti anggotanya sejak sebuah menara penghantaran tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang pada 13 September lalu.

Katanya, SE berusaha memulihkan secepat mungkin bekalan tenaga ke pantai timur yang terjejas akibat insiden itu dengan melakukan penyambungan semula talian menggunakan ERS atau menara sementara dan berjaya menyambung semula talian pertama pada 17 September lalu.

“Pada 17 September 2025, talian pertama penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud berjaya disambung semula pada jam 8.10 malam, sekali gus menghubungkan kembali pantai timur Sabah ke sistem grid dan memulihkan bekalan elektrik ke kawasan yang terputus bekalan.

“Seterusnya talian kedua 275kV Kolopis-Segaliud berjaya ditenagakan pada jam 9.10 malam tadi,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu merupakan hasil pengorbanan, kepakaran dan komitmen luar biasa pasukan teknikal serta warga kerja SE yang bekerja bertungkus-lumus tanpa mengira siang dan malam.

“Kedua-dua talian kini bersambung ke sistem grid Sabah dan saya merakamkan penghargaan atas daya usaha seluruh pasukan teknikal dan warga kerja SE bagi memastikan sistem grid dapat dipulihkan,” katanya.

Mohd Yaakob berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah, pasukan teknikal, kontraktor dan pihak berkepentingan yang lain. – Info X