Search

Koroner keluar perintah notis tunjuk sebab terhadap Shafie

September 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini memerintahkan satu notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Perintah berkenaan bagi meminta Ahli Parlimen Semporna itu untuk menjelaskan kenapa tindakan menghina mahkamah tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap beliau.

Amir Shah mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujahan permohonan lisan Datuk Ram Singh selaku peguam seorang daripada saksi kanak-kanak dan pihak berkepentingan lain dalam inkues kematian arwah Zara Qairina ketika prosiding di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

“Selepas mendengar hujahan oleh peguam kepada tertuduh kanak-kanak pertama dan sesiapa yang menjadi pihak berkepentingan yang memberitahu mahkamah pendirian yang sama, termasuk pegawai pengendali, setelah melihat video dimainkan di mahkamah yang menunjukkan sebahagian ucapan, saya mengingatkan pihak dan sesiapa yang terbabit supaya tidak membuat kenyataan secara terbuka.

“Saya dengan itu bersetuju dengan peguam tertuduh kanak-kanak pertama untuk mengeluarkan tunjuk sebab kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana ini adalah satu penghinaan terhadap mahkamah.

“Saya sekarang memerintahkan untuk melaksanakan notis tunjuk sebab pada hari ini bagi menjelaskan kenapa penghinaan ke atas mahkamah tidak dikeluarkan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana dalam kes ini seseorang telah meninggal dunia.

“Prosiding ini bukan main-main dan ini adalah satu perkara yang serius atas kenyataan di tempat umum yang dibuat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya.

Sebelum itu, dalam hujahannya Ram berkata apa yang dikatakan Shafie dan dirakam dalam video pada majlis makan malam di Karamunting, Sandakan pada Jumaat lalu adalah satu penghinaan terhadap mahkamah.

Katanya, sebelum ini Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Koroner sudah menyatakan dan mengeluarkan kenyataan di mahkamah dan media bahawa sejak inkues berjalan yang hari ini memasuki hari ke-11, tiada sebarang gangguan sepatutnya berlaku terhadap prosiding berkenaan.

“Dalam kenyataannya, Datuk Seri Shafie mencadangkan ini ialah kes pembunuhan, ia sudah tentu mengganggu fikiran (saksi) kanak-kanak, menyebabkan kebimbangan kepada mereka,” katanya.

Bercakap kepada media selepas prosiding, Ram berkata, Koroner turut memanggil pihak berkepentingan lain di mahkamah untuk memberikan pandangan dan pada asasnya mereka bersetuju dengan beliau dan rakan guamannya, Joan Goh.

Katanya, notis tunjuk sebab itu akan disediakan oleh Pegawai Pengendali inkues sebelum diserahkan kepada Shafie.

Semalam, Ram menyifatkan kenyataan Shafie itu sebagai berunsur penghinaan terhadap mahkamah, manakala pasukan peguam diketuai Azhier Farhan Arisin yang mewakili empat saksi kanak-kanak dalam inkues berkenaan menyifatkan kenyataan itu sebagai melulu, berbahaya dan menjijikkan.

Shafie antara lain didakwa menyebut bahawa Allahyarham Zara dibunuh, selain turut mengungkit mengenai inkues di Mahkamah Koroner yang sedang dilaksanakan.

Pagi tadi AGC turut mengeluarkan kenyataan yang memandang serius ucapan dikeluarkan Shafie berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina.

Jelas AGC, kenyataan pemimpin itu juga berpotensi menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

Sehubungan itu, AGC menyebut pihaknya meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan Shafie dan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian selesai.

Pada awal pagi 16 Julai lalu, Allahyarham Zara Qairina,13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokannya berpunca daripada kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia iskemia (HIE). – Info X