Search

Bouncer pusat hiburan cekup edar dadah di Inanam

September 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai ‘bouncer’ sebuah pusat hiburan ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah jenis ekstasi dan ketamin dalam serbuan di Inanam, di sini.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kawasan tempat letak kereta di ainanam Taipan, kira-kira jam 10.20 malam, 19 September lalu.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, ketika cuba ditahan, suspek bertindak melarikan diri sebelum berlaku pergelutan namun akhirnya berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu bungkusan hitam berisi tiga paket dadah dipercayai ekstasi dengan anggaran berat kasar 119.4 gram dan nilai pasaran dianggarkan RM2,400.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati positif ketamin, methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati, suspek mengaku menerima arahan daripada seorang individu untuk mengambil bekalan dadah sebelum diagihkan.

“Suspek turut mengaku sudah terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tahun ini dengan menjual setiap paket pada harga RM800,” katanya.

Alhusin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan individu yang dipercayai dalang utama dalam sindiket berkenaan. – Info X