Search

PPM rampas produk sejuk beku tanpa lesen RM132,905

September 23, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melaksanakan operasi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sebuah rumah di Jalan Tokong Cina, di sini, semalam.

Hasil operasi itu, sebanyak 232 kotak produk sejuk beku pelbagai jenama tanpa lesen berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM132,905.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan kira-kira jam 2 petang itu dijalankan selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, maklumat berkenaan mendakwa rumah terbabit dijadikan tempat penyimpanan produk sejuk beku tanpa lesen.

“Hasil serbuan berjaya merampas 232 kotak produk sejuk beku pelbagai jenama tanpa lesen.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM132,905. Semua barangan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Enakmen Haiwan 2015.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada seluruh komuniti orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

“PPM akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X