Search

PRN17: Jawatan TKM Cina dikembalikan jika GRS kembali membentuk kerajaan

September 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jawatan Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina akan dikembalikan jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk semula kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun berkata jawatan itu akan diberikan sekiranya ramai pemimpin Cina memenangi kerusi mewakili kerajaan pada pilihan raya itu nanti.

“Sekiranya kerajaan ini sekali lagi diberi mandat dan jika ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada pemimpin Cina tersebut sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh dan sekolah swasta Cina serta badan-badan keagamaan bukan Islam di Dewan Hakka, di sini malam tadi.

Ketika ini jawatan Timbalan Ketua Menteri dipegang dua pemimpin mewakili masyarakat Bumiputera bukan Islam dan seorang wakil Bumiputera Islam.

Sebelum ini, satu daripada tiga jawatan Timbalan Ketua Menteri itu dikhususkan untuk wakil masyarakat Cina atau bukan Bumiputera dengan yang terakhir dipegang Datuk Seri Christina Liew ketika di bawah kerajaan Warisan.

Hajiji berkata, masyarakat Cina memainkan peranan yang sangat besar dan memberi sumbanhan yang signifikan dalam kemajuan dan pembangunan Sabah.

“Tanpa sumbangan anda semua, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang. Malah, sumbangan masyarakat Cina di Sabah merangkumi pelbagai bidang dalam pelbagai sektor.

“Dalam sektor swasta, peranan usahawan dan peniaga Cina berada pada tahap teratas. Dalam konteks perkhidmatan awam negeri, ramai pegawai berketurunan Cina memegang jawatan tinggi dalam kementerian, jabatan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sesungguhnya, kita mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan masyarakat Cina dalam masyarakat kita,” katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi pentadbiran negeri, Hajiji berkata beliau telah melantik beberapa penasihat, khususnya mereka yang pakar dan berpengalaman dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan.

“Kebetulan hampir kesemua mereka ini adalah dari keturunan Cina. Terkini, saya telah melantik Yang Arif Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, untuk mengetuai Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC), iaitu sebuah badan bebas yang ditubuhkan untuk memperkukuhkan sistem perundangan negeri.

“Majlis itu akan menilai undang-undang lama yang sudah ketinggalan zaman, mengemukakan cadangan reformasi yang relevan, adil serta mesra rakyat, dan memastikan pentadbiran kita selari dengan keperluan semasa.

“Inilah cara kita memperbaiki tadbir urus negeri, memastikan Sabah terus progresif dan dihormati,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh dan swasta, kuil serta badan keagamaan bukan Islam akan ditingkatkan kepada RM90 juta pada tahun depan, berbanding RM70 juta tahun ini.

Selain peruntukan RM70 juta itu, katanya beliau juga menyalurkan pelbagai bentuk bantuan melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri, termasuk bantuan kepada sekolah Cina dan persatuan kebudayaan Cina di Sabah, seperti untuk Pesta Tahun Baru Cina, pembelian kepala singa, Pesta Bot Naga dan bantuan kepada gereja serta lain-lain.

Hajiji turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) dan pemegang sijil tersebut layak memohon biasiswa negeri serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja mengiktirafnya, malah mengambil tindakan. Tadi saya telah membisikkan kepada Menteri Kewangan bahawa kita juga akan mempertimbangkan permohonan daripada pemegang sijil ini untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. – Info X