Search

Albert Tei dihalang masuk Sabah, peguam mohon penjelasan KM

September 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam Albert Tei mendakwa, anak guamnya sempat dihalang daripada memasuki Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Isnin.

Dalam kenyataan semalam, Mahajoth Singh berkata, Tei mendarat di KKIA kira-kira jam 12.30 tengah hari dan dijadual menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu jam 9 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, dakwanya, sebaik tiba Tei dihalang dan diberitahu oleh “timbalan penolong pengarah imigresen” yang dikenali Ms Mimie bahawa dia dia tidak boleh memasuki Sabah kerana ada sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

“Apa yang mengecewakannya, anak guam saya terpaksa membuktikan bahawa dia ada kes mahkamah yang sedang berjalan dengan menghubungi pegawai penyiasat dan menghantar e-mel dokumen yang berkaitan kepada pegawai imigresen.

“Selepas itu baru dia dibenarkan masuk. Itu pun bukan kerana dia berhak sebaliknya didakwa atas budi bicara pegawai imigresen, itu pun dia hanya diberi tempoh dua hari,” katanya.

Tambah Mahajoth, kejadian itu sangat membimbangkan kerana seseorang warganegara Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya dihalang daripada memasuki Sabah.

Untuk mewajarkan tindakan sedemikian atas dakwaan ada arahan daripada pejabat ketua menteri, katanya. adalah tindakan yang menyalahi undang-undang dan melanggar Perkara 5 dan 9 Perlembagaan Persekutuan secara langsung.

Dia menegaskan bahawa perkara itu lebih serius memandangkan dakwaan rasuah Tei terhadap Hajiji.

Dalam konteks itu, tambah Mahajoth, sebarang sekatan ke atas kemasukannya kelihatan mementingkan diri sendiri dan menyalahgunakan kuasa secara terang-terangan.

“Saya nak tanya Ketua Menteri Sabah: Adakah pejabat anda mengeluarkan arahan menghalang kemasukan anak guam saya? Jika tidak, mengapa imigresen Sabah mendakwa terdapat arahan sedemikian?

“Tidak mungkin kedua-dua pihak bercakap benar.

“Sama ada Pejabat Ketua Menteri Sabah membenarkan tindakan menyalahi undang-undang ini, atau jabatan imigresen bertindak menyalahi undang-undang.

“Dalam mana-mana keadaan, anak guam saya berhak – mengikut undang-undang negara – untuk mendapat penjelasan yang penuh.

“Anda mempunyai 24 jam untuk menjawab,” kata Mahajoth. – Info X