TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bersama Transparency International – Malaysia (TI-M), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan Society for Equality, Respect and Trust for All (SERATA) bekerjasama menjayakan Program ‘Belia Menentang Rasuah: Bengkel Integriti & Akauntabiliti’ dan ‘Bengkel Antirasuah –Menerajui Integriti Perniagaan’, di sini, baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Exco TI-M, Balbeer Singh berkata, program berkenaan disasar kepada belia sejajar kepentingan golongan itu kepada masa hadapan negara dalam menentukan kemajuan dan kemakmuran, selain diharap dapat menyokong usaha memerangi rasuah.
Beliau berkata, program itu diadakan berdasarkan maklum balas diterima daripada peserta serta komuniti Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengenai cabaran mereka membuat laporan atau aktiviti berkaitan pencegahan rasuah di Sabah.
Katanya, sebelum ini TI-M turut mengadakan forum mengenai pemilikan benefisiari dan pengisytiharan aset.
“Industri kecil dan sederhana (IKS) memacu kemajuan negara serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam menjadikan Malaysia negara yang maju.
“Melalui program ini, mereka akan dapat menjalankan perniagaan secara berintegriti dan tidak mengamalkan rasuah dalam mendapatkan tender atau keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi program dua hari yang diadakan pada 19 September lalu di City Hall, LA Hotel, di sini.
Seramai 31 peserta hadir pada hari pertama program yang mensasarkan penyertaan belia daripada Gabungan Persatuan Belia Tawau, Giat MARA Cawangan Tawau dan Politeknik Cawangan Tawau.
Pada hari kedua, seramai 41 peserta Industri Kecil Sederhana (IKS) daripada Gabungan Persatuan-persatuan Kelapa Sawit Tawau dan Gabungan Persatuan Peniaga Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menghadiri program berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Program Nasional UNODC, Vickram Ragunath turut hadir menjayakan program yang bertujuan memberi pendedahan, penerangan dan kefahaman kepada masyarakat di Sabah mengeni kepentingan melaporkan rasuah melalui saluran yang tepat.
Projek itu juga selaras dengan pembentukan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang dipandu oleh ‘NACS: Panduan Praktikal untuk Pembangunan dan Pelaksanaan’ oleh UNODC.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pendakwaan SPRM Sabah, PsK Dzulkarnain Rousan Hasbi turut berkongsi ilmu berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Beliau berharap agar lebih ramai masyarakat tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat kepada agensi penguatkuasaan.
Program itu turut diisi dengan aktiviti interaktif dikelolakan oleh SPRM Sabah, TI-M, UNODC dan SERATA.
SPRM Cawangan Tawau turut mengadakan pameran antirasuah agar peserta dapat memahami peranan SPRM dengan lebih mendalam sebagai agensi tunggal membasmi rasuah di negara ini. – Info X