Search

Pasangan suami isteri warga China direman kes e-mel ancaman bom

September 23, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Sepasang suami isteri warga China ditahan reman selepas disyaki terbabit menghantar e-mel ancaman bom membabitkan penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur.

Kedua-dua suspek, lelaki berusia 29 tahun dan isterinya berusia 28 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Semporna bersama BSJ Tawau dalam serbuan di sebuah hotel di daerah Semporna, pada Isnin.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dipercayai digunakan untuk menghantar e-mel ancaman terbabit.

Difahamkan permohonan reman selama empat hari terhadap pasangan itu bermula hari ini dibuat di Mahkamah Majistret Tawau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Permohonan reman diperlukan bagi melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan suspek dan saksi, mendapatkan pengesahan pemilikan alamat IP emel serta merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Jaafar Hakim ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan berkenaan.

Kes bermula selepas sebuah syarikat penerbangan menerima e-mel pada 20 September lalu daripada suspek wanita yang meminta penerbangannya dari Tawau ke Kuala Lumpur pada 23 September ini dibatalkan dengan alasan terdapat bom dalam pesawat.

Kandungan e-mel itu menimbulkan kebimbangan keselamatan syarikat, kru dan penumpang, lalu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau. – Info X