KOTA KINABALU: Dua pensyarah dan penyelidik kanan Program Sains Forensik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan seorang pemeriksa dokumen forensik bebas lulusan Sarjana Sains Forensik USM adalah tiga lagi pakar yang akan membantu dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ketiga-tiga pakar itu yang dibawa atas inisiatif barisan peguam mewakili ibu arwah Zara tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu bagi memeriksa dokumen yang dijadikan barang kes dalam inkues di Mahkamah Koroner hingga Jumaat ini.
Dua pensyarah dan penyelidik kanan USM itu ialah Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa, manakala pemeriksa dokumen forensik bebas ialah Tay Eue Kam.
Dr Dzulkiflee berpengalaman luas dalam bidang analisis dokumen forensik, kimia forensik dan sains bahan, termasuk penggunaan teknik spektroskopi dan chemometrik untuk kajian dakwat serta kertas.
Beliau mendapat PhD dalam bidang forensik dari luar negara dan kini mengetuai projek penyelidikan serta membimbing pelajar pascasiswazah dalam kajian dokumen soal forensik.
Bidang kepakarannya ialah diskriminasi dakwat dan kertas, metodologi saintifik dalam kes dokumen dan pembangunan teknik pemeriksaan dokumen yang selari dengan piawaian antarabangsa.
Dr Wan Nur Syuhaila pula memfokuskan kepada analisis dokumen dan dakwat dengan kepakaran dalam penggunaan spektroskopi ATR-FTIR dan analisis chemometric untuk mengenal pasti perbezaan dakwat, kertas dan unsur manipulasi dalam dokumen.
Beliau juga aktif menulis dan menerbitkan artikel akademik berkaitan teknik saintifik moden dalam pemeriksaan dokumen forensik.
Bidang kepakaran turut merangkumi analisis fizikal dan kimia dokumen, klasifikasi tulisan tangan serta pembangunan metodologi untuk meningkatkan ketepatan pemeriksaan dokumen.
Sementara itu, Eue Kam berpengalaman sebagai pemeriksa dokumen forensik bebas dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam analisis tulisan tangan, tandatangan, dakwat dan kertas.
Beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar dalam lebih 20 kes mahkamah di seluruh Malaysia termasuk kes sivil, jenayah dan komersial berprofil tinggi.
Eue Kam yang berkelulusan Sarjana Sains Forensik dari USM, pernah menjalani latihan dengan pakar antarabangsa dan ahli badan profesional forensik global seperti IADE dan SAFE.
Kepakarannya termasuk pengesahan tulisan tangan, analisis pemalsuan dokumen, pengesanan pemadaman atau penambahan tulisan dan pemeriksaan teknikal menggunakan makmal forensik mudah alih.
Sementara itu, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata pasukan pakar itu membawa makmal forensik mudah alih dan akan melaksanakan analisis dakwat dan pen bagi mengesan dakwat atau pen berbeza digunakan dan analisis UV/IR light dan ESDA bagi mengenal pasti tulisan tersembunyi atau dipadam.
Katanya, mereka juga akan meneliti writing pressure & entry sequence analysis bagi menentukan urutan penulisan pada halaman, FTIR Spectroscopy & chemometric tools bagi analisis bahan kertas dan dakwat secara saintifik dan document authenticity & tampering detection bagi mengenal pasti sebarang manipulasi halus.
“Fokus utama pemeriksaan ialah untuk mengenal pasti siapa penulis sebenar beberapa helaian yang dipertikaikan; adakah terdapat pemadaman, ‘layering’, atau pertindihan tulisan dan perbezaan dakwat, tekanan tulisan atau alat pen.
“Mereka juga akan memeriksa susunan halaman yang koyak, betul atau telah diubah? Juga memeriksa sama ada gaya tulisan konsisten dengan contoh yang dibekalkan,” katanya.
Minggu lalu, peguam ibu arwah membawa seorang pakar dari Kuala Lumpur, Dr Linthini Gannetion (SD Forensic Document Services) bagi menjalankan analisis awal ke atas tulisan bertanda W1, W2, W3 dan Y1–Y15 dan rekonstruksi helaian yang koyak – untuk kenal pasti susunan asal halaman.
Pakar itu menganalisis peralihan tulisan, iaitu perubahan gaya atau corak penulisan dari satu helaian ke helaian lain dengan fokus utama kepada penentuan penulis (authorship) dan visual comparison dengan tulisan contoh.
Pemeriksaan itu memberi asas penting dalam siasatan awal, terutama untuk mengenal pasti konflik dalam identiti penulis atau pergerakan tangan yang tidak konsisten. – Info X