Search

Pemimpin UMNO, GRS berbalas tuduhan isu rasuah, video tular

September 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan tuduhan pemimpin UMNO terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung penularan video perbuialan timbalannya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dengan ahli perniagaan, Datuk Albert Tei sebagai fitnah politik.

Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu, berkata tuduhan yang melabel kerajaan negeri sebagai pengkhianat terbesar kepada rakyat itu adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, jika pemimpin UMNO mempunyai bukti mengenai tuduhan itu, mereka sepatutnya tampil membawa perkara itu kepada pihak berkuasa.

“UMNO Sabah cuba menangguk di air keruh. Video tular tanpa bukti sahih dijadikan modal politik. Kalau benar ada bukti, bawa ke pihak berkuasa. Jangan hanya pandai menjerit di media,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berhubung penyebaran video perbualan Jeffrey dengan Albert oleh sebuah portal, pada Selasa.

Dalam kenyataan itu, Datu Rosman antara lain mendakwa video berkenaan mendedahkan ‘najis rasuah’ dalam jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau turut menuduh tindakan berdiam diri Ketua Menteri dalam hal itu sebagai gambaran ‘takut seluruh tembok politik GRS runtuh bersama kepimpinannya’.

Barhul menegaskan, UMNO tidak berhak bercakap soal integriti kerana pimpinan mereka sendiri masih bergelut dengan isu rasuah.

“Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin masih berdepan kes rasuah yang belum selesai di mahkamah. Bukankah itu bukti nyata siapa sebenarnya liabiliti politik? Jangan cuba jadi juara moral, kalau rumah sendiri penuh lumpur,” katanya.

Katanya, serangan peribadi terhadap Hajiji hanya helah untuk menutup kelemahan UMNO selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Hajiji fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat. UMNO boleh bersandiwara tetapi GRS bekerja untuk rakyat. Sabah tidak perlukan parti yang hidup atas sensasi tetapi kepimpinan yang jelas membawa hala tuju negeri,” katanya.

Barhul menambah, rakyat Sabah sudah matang menilai dan tidak mudah termakan propaganda murahan parti pembangkang.

“UMNO boleh ulang seribu kali skrip lapuk, tapi rekod Bung Moktar sendiri cukup membuktikan siapa yang gagal menjaga maruah rakyat. Itu ibarat telunjuk lurus, kelingking berkait,” katanya.

Terdahulu, Datu Rosman mendakwa pendedahan video yang mengaitkan Jeffrey bersama beberapa pemimpin kanan STAR dengan sogokan jutaan ringgit, membuka pekung sebenar kerajaan GRS yang selama ini cuba disapu di bawah permaidani.

Katanya, jika sebelum ini rakyat hanya mendengar bisikan, kini bukti sudah terhidang dan yang terbongkar bukan sekadar kelemahan seorang dua pemimpin, tetapi seluruh jentera GRS yang beroperasi atas najis rasuah.

Beliau mengumpamakan perkara itu dengan ‘ikan busuk bermula dari kepala’ memberi gambaran bahawa kepala pentadbiran GRS itu sendiri sudah hancur.

Lebih memalukan, katanya apa yang dijadikan bahan dagangan bukan perkara kecil, sebaliknya lesen perlombongan sumber asli milik rakyat Sabah yang digadai di meja makan restoran mewah di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, berdasarkan video yang tersebar sejak Selasa lalu, Albert yang berdepan pertuduhan rasuah bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara lain mengadu kepada Jeffrey mengenai pembatalan permohonan lesen mineral oleh Ketua Menteri pada tahun lalu. – Info X