KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan tiada timbul sebarang isu antara parti nasional atau tempatan boleh menjadi penghalang pembangunan di Sabah dan Sarawak
Bung Moktar berkata, padangan yang dilontarkan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dianggap hanya pandangan peribadi beliau dan bukanlah satu halangan untuk pemimpin Sabah daripada terus menuntut hak pembangunan selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ia sekadar pandangan peribadi beliau.
Sama ada parti nasional atau tempatan, hak rakyat Sabah akan tetap disuarakan mengikut saluran yang betul selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selain itu, sudah menjadi kelebihan buat negeri ini, kami boleh berhubung secara langsung dengan pemimpin dari Semananjung bagi memastikan kelansungan pembangunan negeri dan pembelaan rakyat khas di Sabah selain daripada berbincang dan membawa isu ke mahkamah.
“Parti nasional atau tempatan hala tujunya tetap sama iaitu perjuangan untuk membela nasib rakyat.
“Bezanya cuma cara untuk mendapatkan bantuan dengan kadar segera dan mudah namun perkara itu selari dengan parti nasional yang memerintah.
“Sebagai contoh, sewaktu Sabah sealiran dengan pentadbiran Pusat, pembangunan negeri ini sebelum 2018 adalah amat pesat dengan cara berbisik-bisik sahaja tanpa perlu membawa isu atau perkara ke mahkamah.
“Oleh itu, kenyataan Naib Presiden PBB itu adalah kurang tepat dan bersifat peribadi semata- mata,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri menegaskan beliau yakin Sabah akan membangun dengan pesat di bawah parti nasional.
“Sekali lagi saya menyatakan kenyataan Abdul Rahman itu tidak seharusnya dilontarkan oleh seorang pemimpin kerana ianya boleh menjejaskan hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat malahan boleh mengganggu gagasan Perdana Menteri melalui Konsep ” Keluarga Malaysia” yang membawa pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah,” katanya. – Info X