SANDAKAN: Lebih RM92 juta pembiayaan diperuntukkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi peniaga Sabah sepanjang tahun 2020 hingga April tahun ini.
Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pelbagai usaha dilakukan dalam membantu meningkatkan produktiviti usahawan di Sabah agar lebih berdaya saing seiring tekanan ekonomi semasa.
“Selain suntikan dana, usaha berkenaan turut terdiri daripada latihan dan kemahiran.
“Antaranya adalah Program Mara Prihatin: Peace of Mind 4.0 yang dilaksanakan bagi bertujuan meringankan beban peminjam bantuan pelajaran dan pembiayaan perniagaan MARA khususnya mereka yang terjejas akibat wabak berkenaan.
“Program ini menyediakan kemudahan kepada peminjam untuk memperbaiki kredit pinjaman mereka dengan menjadualkan semula pembayaran balik terutama bagi peminjam yang mempunyai isu tunggakan bayaran balik yang tinggi,” katanya ketika berucap sempena Pelancaran Program Peace of Mind 4.0 dan Majlis Apresiasi Usahawan MARA Sabah 2022, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azizah memaklumkan pelaksanaan program sama juga dapat membantu peminjam membuat permohonan pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran MARA buat buat yang layak selain alternatif bayaran balik pinjaman pelajaran melalui e-Pengeluaran KWSP.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua peminjam MARA agar tidak melepaskan peluang kemudahan yang dilaksanakan oleh agensi terbabit bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara sepanjang lebih dua tahun lalu.
Sementara itu, Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada usahawan yang cemerlang dalam membuat bayaran balik dengan menyampaikan sijil apresiasi.
Menurutnya, penghargaan turut diberikan penyewa yang berjaya manakala sijil pengiktirafan diberikan kepada usahawan mengikut lima kluster yang ditetapkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan MARA. – Info X