Search

5 lelaki ditahan, 45 botol air ketum dirampas

September 28, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis merampas 45 botol berisi cecair disyaki air ketum selepas menyerbu sebuah rumah dalam Ops Tapis di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut, di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, lima lelaki berada dalam keadaan mencurigakan sebelum diperiksa anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan badan ke atas semua suspek tidak menemui sebarang barang salah.

“Namun, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah membawa kepada penemuan sebuah peti berisi 45 botol mengandungi cecair dipercayai air ketum.

“Turut ditemui satu kotak coklat yang mengandungi 10 paket lutsinar berisi serbuk halus dipercayai daun ketum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – Info X