Search

Lelaki warga asing ditahan pecahkan cermin kereta

October 1, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun ditahan polis selepas disyaki merosakkan sebuah kereta milik seorang wanita di kawasan tempat letak kereta Jalan Singgamata, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.43 pagi itu, cermin depan kereta jenis Toyota Vios pecah manakala bonet hadapan turut kemek selepas dibaling batu oleh suspek.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu melakukan serbuan di sebuah bilik sewa di Bandar Lahad Datu dan berjaya menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Polis memandang serius kes khianat yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan masyarakat.

“Penahanan suspek secara pantas berjaya meredakan keadaan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Info X