KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) terus menggempur kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi apabila berjaya menumpaskan cubaan menyeludup di dua lokasi berasingan di Sandakan dan Semporna, semalam.
Operasi serentak bermula jam 8 malam itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan di Jalan Cecily Sibuga, Sandakan.
Turut dirampas sebuah lori tanker, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta dua skid tank yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, mereka dipercayai cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi untuk pasaran gelap.
“Di lokasi berasingan, PPM turut menahan seorang lelaki warga asing yang dikesan cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran menggunakan bot di perairan Pulau Omadal dan Tanjung Pantau-Pantau, Semporna.
“Hasil serbuan itu, polis merampas 5,400 liter minyak diesel serta 51 jerikin berisi minyak petrol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM482,672.25,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
“Kami komited membanteras jenayah rentas sempadan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X