KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menafikan tanggapan segelintir pihak yang mendakwa wujudnya ‘kursus lelong’ di institusi pengajian tinggi (IPT).
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata semua kursus yang ditawarkan di Universiti Awam mempunyai akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Jelasnya, semua program sudah melalui penilaian dan proses akreditasi ketat seperti yang ditetapkan MQA, termasuk penilaian aspek kebolehpasaran graduan, kajian pasaran, kelayakan pensyarah dan kesesuaian kurikulum.
“Sehubungan dengan itu, UMS menafikan sepenuhnya tanggapan segelintir pihak yang mendakwa wujudnya ‘kursus lelong’ di IPT.
“Bagi universiti ini, perkara itu tidak pernah timbul memandangkan program-program pengajian di UMS sentiasa melalui semakan berkala bagi memastikan kandungan kekal relevan dengan perkembangan industri semasa.
“Proses ini menjamin bahawa graduan UMS bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran kerja domestik, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, kadar purata Kebolehpasaran Graduan (GE) UMS bagi lima tahun kebelakangan ini mencatat 95.46 peratus dengan GE tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 98.5 peratus.
Fakta itu katanya menjadi bukti kukuh bahawa graduan UMS diterima baik di pasaran pekerjaan.
“Seiring dengan kenyataan YB Menteri Pendidikan Tinggi serta penegasan MQA, UMS komited untuk terus menyediakan program berkualiti tinggi, melahirkan graduan kompetitif dan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya. – Info X