Search

11 PATI Pakistan ditahan dalam serbuan rumah sewa

October 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 11 lelaki warga Pakistan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa rumah sewa sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 1.30 hingga 4.30 pagi itu, seramai 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Kota Kinabalu terbabit hasil risikan serta maklumat awam berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Jumaat, pemeriksaan dilakukan terhadap 21 individu dan mendapati 11 daripadanya gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah selain tinggal lebih masa.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an. Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pegawai JIM memeriksa dokumen warga Pakistan dalam operasi penguatkuasaan di Kota Kinabalu.

Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk individu yang melindungi atau memberi perlindungan kepada PATI.

“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu berkenaan yang turut membabitkan aspek keselamatan. – Info X