Search

Polis minta saksi kemalangan maut di Jalan Bombalai tampil salur maklumat

October 7, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis meminta saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Bombalai, di sini, Ahad lalu, supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku berhampiran simpang Ladang Table.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bertembung dengan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 56 tahun dari arah Kalabakan menuju ke bandar Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu terbabit dipercayai bertembung dengan sebuah motosikal yang keluar dari simpang Ladang Table sambil membelok ke arah kanan menuju ke Jalan Bombalai.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 48 tahun tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X