KOTA KINABALU: Parti Warisan menyatakan keyakinan bakal berlaku angin perubahan di Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata pihaknya akan menghadapi pilihan raya itu dengan rendah hati dan keyakinan.
“Kita akan menghadapi pilihan raya ini dengan rendah hati, keyakinan dan kepercayaan bahawa rakyat Sabah bersedia untuk perubahan yang tulen, bukan sekadar janji.
“InsyaAllah, angin perubahan akan berlaku di Sabah,” katanya mengulas pembubaran DUN Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam.
Azis berkata pembubaran DUN menandakan permulaan satu lagi lembaran bagi rakyat untuk membuat keputusan mengenai masa depan mereka.
“Kerajaan negeri sudah menyelesaikan penggalnya dan kini masanya untuk rakyat mengadili rekod mereka.
“Bagi kita di Warisan, kita sentiasa percaya bahawa kuasa adalah milik rakyat, bukan ahli politik,” katanya.
Warisan akan bertanding solo di semua 73 kerusi DUN seperti dijelaskan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Info X