Search

PRN17: Inilah masa kita betulkan semula haluan negeri – Bung Moktar

October 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO – Barisan Nasional (BN) menyifatkan pembubaran DUN Sabah semalam sebagai masa untuk membetulkan semula haluan negeri.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO-BN akan menggunakan pengalamannya untuk memulihkan Sabah ke landasan kemajuan.

“Inilah masa untuk kita betulkan semula haluan negeri Sabah. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, pengalaman UMNO-BN menjadi sandaran untuk memulihkan semula Sabah ke landasan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan izin Allah SWT dan sokongan rakyat, UMNO-BN akan memimpin semula negeri ini dengan semangat baharu, berpaksikan pengalaman lama yang telah teruji,” katanya mengulas pembubaran DUN Sabah semalam.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata dengan pembubaran itu, UMNO dan BN sudah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17)

“Kita tidak menunggu esok, persediaan kita sudah lama berjalan. Semua jentera UMNO-BN di seluruh negeri kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum.

“Saya menyeru setiap pemimpin bahagian, sayap dan PDM pastikan jentera digerakkan 100 peratus bagi menjamin kemenangan calon-calon BN di seluruh Sabah.

“UMNO dan BN bukan baharu dalam perjuangan ini, kita mempunyai pengalaman luas mentadbir, membangun dan menjaga negeri Sabah.

“Pengalaman ini menjadi bekal utama kita yang akan memudahkan setiap jentera, calon dan kepimpinan melaksanakan tugas dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Dalam menghadapi PRN kali ini, katanya UMNO-BN akan menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak semasa rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, politik hari ini menuntut kebijaksanaan dan kepekaan terhadap suara rakyat.

“Kita tidak datang dengan kata-kata manis, tetapi dengan pelan dan tindakan yang nyata kerana pepatah ada mengatakan, ‘kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya’.

“Kita juga tidak akan menutup mata terhadap hakikat sebenar isu kegagalan kerajaan GRS membangunkan negeri yang akan menjadi tumpuan utama dalam kempen BN kali ini.

“Rakyat sudah melihat sendiri kegagalan kepimpinan GRS dalam mengurus ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri. Banyak kawasan masih ketinggalan, peluang pekerjaan sempit dan dasar pembangunan negeri tidak tersusun,” katanya.

Penyandang kerusi DUN Lamag itu berkata UMNO-BN yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan yang bijak dalam memilih parti dan calon yang mampu membawa arus perubahan yang lebih baik untuk rakyat dan negeri ini.

“Kita bukan datang dengan janji kosong, tetapi dengan keupayaan dan pengalaman yang telah terbukti.

“Kita sudah bersedia membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah. Kita percaya rakyat Sabah berhak untuk hidup lebih baik daripada hari ini, berhak menikmati peluang, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh,” katanya. – Info X