Search

PRN17: Beri mandat kepada GRS demi kestabilan dan kemajuan – Nizam

October 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat perlu memberikan mandat yang kukuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meneruskan kestabilan politik dan kesinambungan dasar kerajaan.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata langkah itu bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat terus dilaksanakan.

“Kini, dengan berakhirnya penggal ini, saya menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan mandat yang kukuh kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

“Hanya dengan kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, kita dapat memastikan pembangunan yang dirancang terus berjalan demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.

Penyandamg kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas itu berkata demikian sebagai mengulas pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin.

Nizam berkata, berikutan pembubaran itu, tibalah masanya untuk rakyat sekali lagi menggunakan hak demokrasi bagi menentukan hala tuju masa depan negeri ini.

Katanya, sejak diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), kerajaan di bawah pimpinan GRS telah menunjukkan keupayaan mentadbir dengan penuh tanggungjawab dan kestabilan.

“Dalam tempoh penggal ini, GRS berjaya meletakkan asas kukuh melalui pelaksanaan Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan kepada pembangunan seimbang antara kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Di bawah kepimpinan ini juga, kita telah melihat pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana, membuka peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan dilaksanakan, termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, peningkatan kemudahan asas di luar bandar serta penambahbaikan dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Jelasnya, hubungan harmoni antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan turut memastikan lebih banyak peruntukan disalurkan ke Sabah bagi pembangunan jangka panjang. – Info X