KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, di sini diadakan seperti biasa sehingga tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) diumumkan nanti.
Peguam mewakili ibu arwah, Rizwandean M Borhan dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, berkata belum ada permohonan rasmi untuk menjadualkan semula prosiding disebabkan pilihan raya itu.
“Setakat ini, inkues berjalan seperti biasa dan tiada sebarang permohonan dibuat. Apabila tarikh penting PRN17 diumumkan, barulah kami mungkin mengemukakan permohonan yang sewajarnya dengan mengambil kira kesesuaian masa,” katanya Rizwandean ketika ditemui media selepas prosiding pada Rabu.
Sementara itu, Mohd Syarulnizam mengakui beberapa pihak yang terbabit dalam inkues, termasuk barisan peguam, mungkin turut terbabit dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya itu.
“Saya percaya ramai pihak yang terlibat untuk memastikan PRN berjalan dengan lancar.
“Koroner juga memaklumkan bahawa selepas tarikh muktamad PRN diumumkan, pihak peguam boleh membuat permohonan dan perbincangan akan dibuat mengenai perjalanan prosiding inkues,” katanya. – Info X