TAMBUNAN: Timbalan Pengerusi Parti Maju Sabah (SAPP) Tambunan, Geoffrey Yong bersama isterinya, Ervena Joan, mengumumkan keluar parti itu dan mengambil keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Keputusan itu dibuat selepas lebih 30 tahun bersama SAPP kerana melihat kepimpinan baik Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P Paut yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya bersama isteri memilih untuk menyertai Gagsan Rakyat kerana yakin dengan arah perjuangan yang dibawa oleh kepimpinan Victor. Beliau memberi nafas baharu dalam politik Tambunan,” katanya pada majlis penyerahan borang keahlian, di sini, pada Rabu.
Borang keahlian Geoffrey dan isterinya diterima Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Hussein Hassan dengan disaksikan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Sylvester Yapas, Aziz Banting dan barisan kepimpinan lain.
Langkah Geoffrey meninggalkan SAPP selepas tiga dekad bersama parti itu dilihat memberi isyarat sokongan baharu kepada Gagasan Rakyat di Tambunan, yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang meninggalkan GRS bersama SAPP.
Tambunan kini menjadi medan persaingan politik sengit antara STAR yang dipimpin Jeffrey dengan pengaruh baharu yang bertapak, dan Gagasan Rakyat muncul sebagai kuasa baharu melalui kepimpinan Victor.
Perkembangan mutakhir ini dijangka menambah warna baharu dalam landskap politik Tambunan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Victor aktif turun padang mendengar masalah rakyat di kampung-kampung, termasuk isu pembangunan luar bandar, prasarana asas, peluang ekonomi dan pendidikan generasi muda.
Pendekatan mesra rakyat dan kerja keras beliau membela masyarakat setempat dilihat menjadi faktor utama yang semakin menarik sokongan penduduk Tambunan kepada Gagasan Rakyat, sekali gus memberi isyarat bahawa Tambunan mahu membangun dan memerlukan pemimpin seperti Victor sebagai wakil rakyat. – Info X