SEMPORNA: Kegiatan licik seorang wanita tempatan yang menjual rokok seludup dan menyimpan minyak masak bersubsidi untuk dijual semula terbongkar selepas rumahnya diserbu polis di Kampung Simunul, di sini, semalam.
Serbuan oleh sepasukan anggota Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan bantuan Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna hasil risikan berterusan terhadap aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.
Pemangku Komander Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Ahmad Radzi berkata, hasil serbuan berjaya menahan seorang wanita tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan menjual rokok tanpa cukai serta menyimpan minyak masak bersubsidi untuk penjualan semula.
“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui sejumlah besar rokok pelbagai jenama serta beberapa kotak minyak masak peket pelbagai jenama.
“Turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda milik suspek yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barang rampasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk rokok, minyak masak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM173,865.
Ahmad Radzi berkata, suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kejayaan operasi itu hasil komitmen berterusan Task Force Batalion 22 PGA Kunak dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di kawasan pantai timur Sabah, selain memperkukuh kerjasama antara agensi keselamatan demi menjaga kestabilan ekonomi negara. – Info X