Search

PRN17: Permohonan undi pos dibuka mulai 13 Oktober

October 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bermula Isnin depan, 13 Oktober 2025.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Pengerusi SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata urusan permohonan undi pos itu merangkumi undi pos dalam dan luar negara.

“SPR ingin memaklumkan mengenai urusan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17.

“Permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Anggota Polis, Anggota Tentera, Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, dan Petugas Media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) akan dibuka mulai Isnin, 13 Oktober 2025,” katanya.

Beliau berkata, semua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Katanya, pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos.

“Tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak. Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7218,” katanya. – Info X