KOTA KINABALU: Penemuan objek menyerupai bom tangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang tadi, dipercayai ditinggalkan seorang kanak-kanak bersama seorang wanita dewasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kedua-dua individu terbabit dilihat meletakkan objek berkenaan sebelum beredar dari tempat kejadian.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang kanak-kanak lelaki berpakaian seragam sekolah bersama seorang wanita telah meletakkan objek berlenaan di lokasi sebelum beredar dari tempat kejadian.
“Susulan itu, kawalan keselamatan telah dilaksanakan di kawasan terbabit bagi memastikan keselamatan awam terjamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah telah dipanggil ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati objek tersebut bukan bahan letupan, sebaliknya ialah alat permainan kanak-kanak.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan sebarang objek mencurigakan di tempat awam yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“PDRM turut menzahirkan penghargaan kepada orang awam dan pihak pengurusan KKIA atas keprihatinan serta kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini,” katanya.
Terdahulu, kira-kira jam 1.40 petang, suasana di kawasan Balai Pelepasan Domestik dan Antarabangsa KKIA kecoh apabila orang awam menemui satu objek berwarna hitam menyerupai bom tangan di atas tiang penghadang berhampiran pintu masuk balai berkenaan.
Penemuan itu segera dimaklumkan kepada pihak keselamatan lapangan terbang sebelum kawasan terbabit dikosongkan bagi memastikan keselamatan penumpang dan orang awam terjamin. – Info X