Search

Belanjawan 2026: Pembangunan Sabah jadi tumpuan, RM6.9 bilion peruntukan disalur

October 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2026 sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tekad itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan Belanjawan Madani Keempat: Belanjawan Rakyat di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Katanya, tekad itu bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata untuk merapatkan jurang pembangunan, terutamanya prasarana asas.

“Sabah dan Sarawak menerima peruntukan Persekutuan tertinggi. Peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion ketimbang RM4.4 bilion pada 2022.

“Peruntukan kepada Sarawak juga terus meninggi kepada RM6 bilion ketimbang RM2.9 bilion pada 2022,” katanya.

Beliau turut mengulangi mengenai kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak yang ditingkatkan kepada RM600 juta mulai tahun ini berbanding RM300 juta pada 2023.

Selain dua peruntukan itu, katanya Sabah tetap menerima pelbagai lagi peruntukan lain termasuk RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik meskipun kawal selai utiliti itu sudah diserahkan sepenuhnya kepada Sabah sejak Januari tahun lalu.

Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri turut menyebut mengenai insiden tanah runtuh di Penampang yang memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi, mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna di pantai timur Sabah.

“Langkah segera diambil bagi
memulih bekalan. Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link,” katanya.

Bagi bekalan air, katanya sejak 2024, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk projek air Sabah, antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

“Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan,” katanya.

Berkaitan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, Anwar berkata empat pakej Fasa 1A sudah siap setakat ini, manakala pada tahun depan sebanyak RM1.67 bilion disediakan untuk pelaksanaan projek itu mengikut jadual.

“Sarawak-Sabah Link Road Fasa (SSLR) 1 juga dijangka siap pada November 2026, sementara SSLR 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029.

“Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah Sarawak. SST akan dikeluarkan seawal suku pertama 2026,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital yang sebaiknya, Perdana Menteri berkata Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion ringgit.

“Ini melibatkan laluan dasar laut dari Sedili di Johor, ke Kuching dan Sibu di Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

“Sebanyak RM20 juta pula disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyenaraikan projek pembangunan yang dirancang di setiao negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

“Saya telah turun berjumpa dengan kepimpinan semua negeri untuk memahami keutamaan projek pembangunan negeri. Justeru, perencanaan RMKe-13 telah mengambil kira permohonan semua negeri,” katanya.

Bagi Sabah, katanya antara projek pembangunan yang disenaraikan ialah menaik taraf Kolam Pengoksidaan Inanam kepada Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan membina jalan baharu dari Kalabakan ke Simanggaris di sempadan Malaysia-Indonesia.

Turut dirancang, katanya ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog bagi kerja-kerja pembinaan ban serta pemasangan paip transmisi dan agihan utama termasuk tangki simpanan di sebahagian kawasan Bandar Tawau.

Selain itu, turut disenaraikan ialah kerja-kerja penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. – Info X