KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan progresif dan cukup berhemah tanpa mengabaikan kepentingan pelbagai masyarakat, terutama kurang berkemampuan.
Beliau menyifatkan belanjawan itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara dengan peruntukan RM6.9 bilion kepada Sabah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah membentangkan Belanjawan negara yang progresif.
“Belanjawan ini, yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara, telah menyediakan peruntukan untuk Sabah berjumlah RM6.9 bilion.
“Kita percaya peruntukan ini akan memberi manfaat besar kepada negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat.
Anwar turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah tahun depan adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Hajiji berkata, belanjawan itu bukan sekadar angka, malah ia adalah hasil daripada kestabilan politik Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri.
“Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” katanya.
Dalam Belanjawan itu, Anwar turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link.
Hajiji menyifatkan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Turut dimasukkan dalam belanjawan kali ini ialah kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini yang menjejaskan Sabah, termasuk IPG Gaya, dengan kos sebanyak RM220 juta serta RM39 juta bagi Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun depan.
Beliau juga memuji komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi tuntutan Sabah, termasuk dengan menaikkan geran khas interim kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada tahun ini.
Turut hadir Menteri Kewangan interim, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong. – Info X